Kerajaan negeri Sabah komited dalam membuka lembaran baharu era kepimpinan di negeri ini bagi membolehkan Sabah mencipta satu sejarah baru yang memberi makna kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membela nasib rakyat dalam semua aspek bagi membentuk negeri yang mantap.

Mohd Shafie menjelaskan bahawa kepimpinan era baharu ini akan membolehkan pembangunan ekonomi dan peluang pendidikan akan diberi keutamaan dalam menerajui negeri ini dalam melahirkan rakyat yang berdaya saing.

"Kepimpinan era baharu ini akan membuka banyak peluang kepada anak-anak Sabah dimana sektor ekonomi dan pendidikan merupakan aset penting untuk masa depan negeri kita.

"Ini membolehkan kita melakar satu sejarah baru di peringkat negeri Sabah dan akan menjadikan sektor ekonomi negeri ini lebih kuat dan mantap,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kabinet Negeri Sabah di Plaza Sunset Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Shuryani Shuib, Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Junz Wong.

Mohd Shafie Apdal

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyeru agar rakyat di negeri ini terus menjaga keharmonian dan perpaduan dalam memantapkan lagi kemakmuran masyarakat majmuk yang terjalin.

Beliau menjelaskan bahawa perbezaan agama dan suku kaum masyarakat di negeri ini bukan menjadi penghalang utama untuk mengukuhkan sifat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

"Perbezaan agama dan adat resam bukan menjadi penghalang kepada kita untuk kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Seperti contoh hari ini kita meraikan perayaan Hari Raya, ramai masyarakat yang berbeza latar belakang turun memeriahkan majlis. Jadi kita harus gunakan peluang ini dan manafaatkan perbedaan untuk kita saling kenal-mengenal dan mengeratkan hubungan," katanya.

Majlis rumah terbuka ini disambut meriah dengan kehadiran 20,000 orang yang datang dari seluruh pelusuk Sabah termasuk pelancong dari luar negara.

Orang ramai mula membanjiri majlis seawal 9 pagi dan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan dan aktiviti nyanyian untuk pengunjung.

Lebih 50 gerai makanan dibuka yang menyajikan pelbagai makanan tempatan yang bermula pada jam 10 pagi hingga jam 1 petang.