Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menghapuskan kegiatan judi haram yang terdapat di negeri Melaka, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memandang serius perkara tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

"Semasa saya mula-mula menjadi Ketua Menteri dahulu, kita pernah menggubal undang-undang membenarkan pihak penguat kuasa memotong bekalan elektrik terhadap mana-mana premis menjalankan kegiatan judi haram,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Melaka di sini pada Khamis.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani kegaitan judi haram di negeri Melaka.

Bagaimanapun, Idris enggan mengulas lanjut mengenai enam pegawai polis di negeri ini dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan dengan pengusaha pusat judi dan rumah urut haram di sekitar Melaka.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memberi wang tunai RM500 kepada 449 guru di negeri ini yang bersara mulai 1 Jan hingga 31 Dise 2017 sama ada mereka yang bersara wajib atau secara pilihan sebagai hadiah di atas sumbangan mereka mendidik anak bangsa.

"Pemberian tersebut juga adalah ''buah tangan'' kerajaan negeri kepada guru-guru yang akan bersara sempena hari Raya Aidilfitri dan akan disampaikan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh wakil rakyat masing-masing sebelum hari raya," katanya.

Idris berkata guru menjadi model kepada pelajar, jadi guru seharusnya mempunyai akhlak tinggi dan agar menjadi ikutan pelajar.

Pada majlis itu, Othman Rejap, 71 tahun, Dr Rosnanaini Sulaiman, 62, Kamaruddin Abdullah, 73, dan Suboh Ma''soom, 63 dipilih sebagai tokoh guru bagi sambutan Hari Guru peringkat negeri.

Kesemua pemenang menerima wang tunai RM3,000, sijil, pingat dan plak yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka.

--BERNAMA