Kerajaan Nepal memuji cara Malaysia mengendali pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Duta Nepal ke Malaysia, Udaya Raj Pandey memberi penilaian 9 per 10 atas tindakan yang dilakukan Malaysia demi menyelamatkan nyawa setiap individu tidak kira agama, bangsa mahupun warganegara.

BACA: Patutkah Malaysia dikritik kerana menjaga warganya sendiri?

"Secara jujur, kami berpuas hati berkenaan cara mereka (Kerajaan Malaysia) mengendalikan isu ini. Mereka menyediakan segala sokongan kepada rakyat kami yang dijangkiti (COVID-19) serta mereka yang diarahkan untuk menjalani kuarantin.

"Saya berbual bersama mereka menerusi telefon, pegawai-pegawai kami melawat ke beberapa depoh tahanan imigresen, mereka (rakyat Nepal) berpuas hati atas perkhidmatan yang diberi.

"Adil untuk saya katakan, daripada 10, saya beri penilaian sembilan. Cuma ada masalah berkenaan pekerja tidak berdokumen yang ingin balik ke negara asal. Ada sedikit kelewatan, itu sahaja yang perlu ditambah baik," katanya pada ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.

BACA: COVID-19: Tindakan efektif Malaysia perlu jadi contoh - Kedutaan Indonesia

BACA: Rakyat Bangladesh puas hati layanan kerajaan Malaysia di pusat kuarantin

Beliau dalam masa sama menasihati para pengamal media untuk lebih adil dalam membuat laporan dan tidak menokok tambah dalam pelaporan berita terutama ketika dunia sedang berperang melawan pandemik COVID-19.

"Saya fikir media perlu lebih adil dan seimbang, tidak menokok tambah isu terutama ketika waktu sukar ini.

"Jadi, mereka (pengamal media) perlu lebih berhati-hati dalam melaporkan realiti sesuatu situasi, hanya melaporkan realiti dan tidak melampaui realiti," katanya.