Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan penting dalam membantu mewujudkan kesedaran mengenai perubahan iklim, kata Pengerusi dan Komander St John Ambulans Sarawak Datuk Seri Ang Lai Soon.

Beliau berkata semua individu bertanggungjawab dalam membantu walaupun secara kecil dan di kawasan persekitaran mereka, bagi melindungi dan menjaga alam sekitar yang semakin rapuh ini.

"Sudah tentu mereka yang lebih berkemampuan, boleh membantu dengan mendidik mereka yang lain mengenai bagaimana memelihara persekitaran dengan lebih baik sama seperti mereka menjaga diri sendiri.

Kita perlu lebih prihatin ke arah kehidupan yang lebih mampan dan hanya memilih produk yang mesra alam sekitar, ia semudah menggunakan beg kertas atau beg kitar semula berbanding menggunakan plastik," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu hari ini.

Beliau berkata pembakaran hutan tidak terancang kerana perladangan dan oleh manusia yang berlaku di luar bandar dan bandar harus dihentikan agar penduduk di kebanyakan negara terutamanya di rantau ASEAN, tidak perlu menyedut udara tercemar yang diketahui boleh merosakkan kesihatan manusia dan haiwan.

Ang berkata jika setiap individu boleh menanam sebatang pokok setahun, ia dapat membantu menjadikan kawasan bandar lebih hijau dan sihat.

"Daripada melihat pokok-pokok ditebang tanpa belas kasihan dan bukit-bukit ditarah atas nama kemajuan dan pembangunan, kita perlu mengekalkan pokok-pokok serta bukit-bukit yang ada sebaik mungkin.

"Percubaan untuk membina hutan konkrit sama sekali tidak seharusnya digalakkan," katanya.

-- BERNAMA