Kerajaan Negeri akan mengemukakan satu laporan bagi menjelaskan berhubung isu yang dibangkitkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai projek penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) dalam tempoh seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata, dengan itu Kerajaan Negeri meminta menteri berkenaan supaya meneliti laporan yang dikemukakan kerajaan negeri kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu memahami PSR dengan baik dan mempunyai pengetahuan mengenai projek itu.

"Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, ia merupakan pendirian kerajaan negeri untuk membangunkan projek PSR secara penuh bertanggungjawab dan mampan.

"Projek PSR akan dibangunkan untuk memberi manfaat kepada semua rakyat Pulau Pinang dan generasi akan datang. Masyarakat nelayan yang terjejas akan diberi perhatian khusus bagi memastikan mereka mendapat manfaat daripada projek itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rabu lepas, Wan Junaidi berkata projek PSR akan menjadi tidak sah untuk dilaksanakan buat masa ini jika kerajaan negeri berdegil untuk meneruskannya berikutan banyak laporan yang masih belum diterima daripada pihak pemaju dan kerajaan negeri.

Katanya, secara peribadi, beliau tidak bersetuju projek itu diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada sumber kehidupan marin yang akan menjejaskan pendapatan nelayan malah ia bakal mengubah tebing benua di negeri ini.

Chow berkata tidak ada kemungkinan tebing benua itu akan berubah dan memasuki perairan antarabangsa selepas projek itu dibina.

Katanya, projek yang dicadangkan itu terletak di kawasan yang sangat cetek kurang daripada -3.5m CD (kedalaman) tebing benua Malaysia dan berada dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai selatan Pulau Pinang.

"Berdasarkan peta yang diperoleh dari laman web Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pulau Pinang dan cadangan projek PSR itu terletak jauh dari sempadan antarabangsa dengan Indonesia," katanya.

Chow juga berkata tiada kerja-kerja penambakan dilakukan di pantai selatan negeri ini untuk projek itu.

Katanya kerajaan negeri sekali lagi menegaskan ia tidak berhasrat untuk memulakan kerja-kerja penambakan tanpa sebarang kelulusan termasuk kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Projek PSR bagi membina tiga pulau buatan manusia termasuk dalam cadangan pelaksanaan projek Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PTMP) yang turut mengandungi terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer, tiga lebuh raya dan Penang Sky Cab. -- Bernama