Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini menyoal Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung status cadangan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas, yang diserahkan sejak Mac 2016.

Chow berkata beliau tidak menerima sebarang komunikasi daripada SPAD selain daripada dua mesyuarat yang dihadiri di Putrajaya, yang diadakan dua tahun lepas.

"Saya akan bertemu Menteri Pengangkutan pada Selasa depan (18 Sept) dan juga mendengar taklimat daripada SPAD di Putrajaya berhubung cadangan projek itu. Diharapkan, kami akan dapat penjelasan daripada SPAD tentang apa yang berlaku terhadap cadangan projek yang diserahkan itu," katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Awal tahun ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam lawatan rasminya ke Pulau Pinang berkata, projek LRT yang dicadangkan itu mungkin tidak sesuai dilaksanakan di Pulau Pinang, berdasarkan dapatan SPAD.

Cadangan projek LRT itu terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), meliputi jarak 30km dan 27 stesen dari Komtar ke pulau tebus guna di selatan bahagian pulau Pulau Pinang.

Sementara itu, Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota, berkata sesi townhall bagi Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang dicadangkan akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE dari 8 malam sehingga 10.30 malam Khamis depan (20 Sept).

Beliau berkata sesi townhall akan menjadi platform untuk orang ramai berkongsi kebimbangan mereka terhadap projek itu dan selaras dengan prinsip pentadbiran bagi ketelusan dan komitmen untuk mendengar dan memahami kehendak orang ramai.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memberi respons terhadap semua isu dibangkitkan dan akan dibawa kepada perhatian Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai sebahagian daripada maklum balas orang ramai untuk laporan EIA.

"Ini (sesi townhall) akan dijalankan secara terbuka dan telus. Sama ada orang ramai menyokong, membantah, membangkitkan isu tertentu atau kebimbangan, cadangan penyesuaian dan apa juga akan dikemukakan kepada JAS... kami juga berharap sesi ini akan berlangsung secara aman," katanya.

Katanya sesiapa yang tidak dapat hadir ke sesi townhall itu boleh mengemukakan komen mereka secara bertulis bagi Laporan EIA Lebuhraya PIL 1 kepada JAS pada atau sebelum 25 Sept.

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar. -- Bernama