Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bersetuju dengan langkah untuk menutup Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Lebuh Light, Sekolah Kebangsaan Convent Lebuh Light dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Pulau Tikus di sini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihaknya membantah penutupan itu kerana ketiga-tiga sekolah itu merupakan sekolah paling tua di Asia Tenggara.

"Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan penutupan ini. Kami tidak dimaklumkan berhubung penutupan ini," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Lim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang juga tidak akan meluluskan sebarang rancangan pembinaan di tanah ketiga-tiga sekolah mubaligh itu sekiranya tanah berkenaan dijual kepada pemaju.

Sebuah portal berita berbahasa Inggeris hari ini melaporkan bahawa tiga sekolah convent berkenaan bakal ditutup berikutan pengambilan pelajar bagi kemasukan sesi 2018 telah dihentikan.

Laporan itu menyatakan bahawa pemilik tanah berkenaan dikatakan mahu mengambil semula tanah itu.

Menurut portal itu, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang turut mengesahkan bahawa tiada pengambilan pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu di sekolah berkenaan bagi 2018.

-- BERNAMA