Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), setelah mengkaji dan memperhalusi serta melakukan pengubahsuaian wajar, ke atas Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, paling utama yang akan ditekankan kerajaan negeri ialah aspek penguatkuasaan yang akan dipertingkatkan oleh agensi-agensi berkenaan, termasuk dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini bagi memastikan kesihatan awam atau rakyat terus terpelihara apabila sektor ekonomi dan sektor awam tertentu dibuka semula, sepertimana ditetapkan di bawah PKPB," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menurunkan kuasanya kepada PBT sepertimana dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Rabu lalu.

"Perkara ini juga turut dibincang dan diperhaluskan lagi pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang saya pengerusikan hari ini.

"Apa yang Kerajaan Pahang lakukan ini selari dengan yang telah saya nyatakan dalam kenyataan bertarikh 3 Mei lalu.

"Ia antara lain menyebut tentang sokongan, tetapi meminta untuk mengkaji dan memperhalusinya, agar sesuai dengan kedudukan semasa penularan wabak COVID-19 di Pahang," katanya.