Kerajaan negeri kini masih menunggu laporan penuh daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang berhubung isu aktiviti perlombongan bauksit yang didakwa kembali beroperasi di Kampung Jeram, Beserah dekat sini berikutan kewujudan dua jentera pengorek yang disedari penduduk pada Isnin lepas.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, beliau sudah meminta pihak PTG membuat laporan tentang perkara itu termasuk status lombong kepadanya selepas diberitahu mengenai dakwaan pengoperasian semula aktiviti perlombongan berkenaan.

"Saya ada diberitahu, saya telah minta PTG untuk laporkan kepada saya sebab kita tidak boleh mengulas berdasarkan kepada khabar yang didengar contohnya isu yang mengorbankan tiga orang anak.

"Lombong itu di atas tanah persendirian bukan tanah kerajaan. Biasanya di tanah persendirian ini mereka akan meminta kebenaran Borang 4 A, B dan C di pejabat PTG biasa.

"Rupa-rupanya keluar bauksit haram. Itu tidak dapatlah kita hendak mengawal 24 jam. Susah sikitlah, saya berharap pihak NRE akan mainkan peranan mereka. Sebab kita telah serahkan semua dan kita di peringkat negeri akan berikan sokongan," katanya.

BACA: Pemilik tanah bertanggungjawab kambus lombong bauksit

BACA:
MB Pahang arah PTG siasat kes lemas di kawasan bauksit

Jelasnya, kerajaan negeri akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam usaha kementerian itu menangani isu sedemikian.

Beliau yakin kementerian berkenaan mempunyai cara dan kaedah tertentu untuk menyelesaikan permasalahan itu dalam tempoh moratorium yang masih berkuat kuasa pada masa ini.

Selasa lepas, dua jentera pengorek itu disedari penduduk kampung menyebabkan mereka nekad mendapatkan penjelasan kontraktor terlibat dan kontraktor tersebut mendakwa mereka mempunyai surat kelulusan bagi kerja memunggah dan membersihkan stokpile bauksit di lombong berkenaan.

Namun, penduduk mendakwa jentera berkenaan telah dibawa keluar oleh pihak berkuasa pada petang Selasa itu juga.