Kerajaan akan memantau kenaikan kadar tol di pintu masuk Singapura berkuat kuasa 1 Okt ini bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerajaan berusaha mengurangkan kesan kenaikan itu terhadap rakyat dengan mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Singapura.

Liow yang juga Presiden MCA berkata buat masa ini, beliau belum mendapat maklumat mengenai kenaikan kadar tol itu tetapi berharap Singapura dapat memaklumkan mengenainya kepada Malaysia.

"Singapura perlu memaklumkan kepada Malaysia dahulu mengenai kadar tol baharu yang akan dilaksanakan kerana kita perlu memastikan kenaikan kadar tol itu tidak membebankan rakyat terutama sekali yang bekerja di Singapura dan sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan MCA Kedah di sini, hari ini.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura semalam mengumumkan semua kenderaan kecuali motosikal yang keluar masuk negara itu menerusi Causeway Woodlands Checkpoint akan dikenakan bayaran tol baharu.

Kadar tol baharu kereta yang memasuki Singapura ialah SGD$2.70 (RM6.83), van dan kenderaan muatan ringan SGD$4 (RM10.12), kenderaan berat SGD$5.30 (RM13.41), teksi SGD$1.40 (RM3.54) dan bas SGD$2.20 (RM5.57).

Bagi kereta yang keluar dari republik itu, kadar tol baharu ialah SGD$3.80 (RM9.62), van dan kenderaan muatan ringan SGD$5.80 (RM14.68), kenderaan berat SGD$7.70 (RM19.50), teksi SGD$1.90 (RM4.81) dan bas SGD$3.10 (RM7.85).

Sementara itu, Liow berkata Kementerian Pengangkutan mahu menambah penerbangan antarabangsa ke dan dari Langkawi berikutan peningkatan pelancong ke pulau itu,

"Kementerian menggariskan pelbagai langkah untuk memastikan usaha ini berjaya termasuk menawarkan ganjaran kepada MAS dan AirAsia untuk menambah penerbangan ke luar negara melalui Langkawi.

"Dengan penambahan ini, kita mampu menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi, sekali gus melonjakkan ekonomi negara," katanya.

Liow berkata dengan hanya dua syarikat penerbangan ke Langkawi, ia belum mencukupi untuk merancakkan industri pelancongan di pulau peranginan itu.

"Jika ada lebih laluan, kita dapat bawa lebih ramai pelancong luar ke Langkawi. Penerbangan tempatan cukup, penerbangan luar negeri yang tidak cukup.

"Kementerian akan ambil inisiatif untuk menarik syarikat-syarikat penerbangan datang ke Langkawi seperti dari China, Timur Tengah dan India," katanya.

Selain itu, Liow berkata kementerian juga akan menambah penerbangan sewa khas ke Langkawi.