Kerajaan Pas Kelantan berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa yang akan ditentukan kelak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan pertemuan itu antara lain akan berbincang mengenai tuntutan royalti lima peratus hasil petroleum negeri itu.

Katanya, walaupun sebelum ini Pakatan Harapan dalam manifestonya berjanji untuk memberikan 20 peratus hasil royalti bagi negeri yang mengeluarkan hasil petroleum tetapi kerajaan negeri hanya mahu lima peratus sahaja.

"Kita tunggu masa terbaiklah... Kita tegaskan bahawa masih menuntut lima peratus sebagaimana perjanjian dulu walaupun Kerajaan Persekutuan berjiwa besar mahu beri 20 peratus. Kita hanya mahu lima peratus," katanya.

Ahmad berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan pertama selepas Pilihan Raya Umum lalu di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Ahmad menjelaskan tuntutan lima peratus hasil petroleum itu berdasarkan janji yang pernah dibuat oleh Petronas dan Kerajaan Persekutuan pada tahun 1975.