Kerajaan negeri Perak sedia membantu keluarga kesemua mangsa yang terlibat dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru, pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari berkata, bantuan yang akan diberikan termasuk menanggung keseluruhan kos pengurusan jenazah, selain bantuan kewangan lain.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa proses pengebumian telah dimulakan, jadi pihak kerajaan negeri akan menanggung segala kos pengebumian.

“Kebetulan, lima remaja ini dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, jadi buat masa ini kita akan uruskan kos dan bantuan lain.

"Kita akan bincang dengan keluarga kemudian,” katanya, yang juga wakil rakyat Tebing Tinggi, kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.

BACA: Enam maut dalam kebakaran rumah kedai di Ipoh

Pada Selasa, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahaya Abd Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 1.54 petang itu, semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Abdul Aziz (kiri) bertemu sebahagian ahli keluarga dan waris mangsa yang terlibat dalam kebakaran rumah kedai di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru, Ipoh pada Selasa. Astro AWANI

Sementara itu, Bernama melaporkan, semua keluarga lima pekerja sambilan yang meninggal dunia dalam kebakaran itu bersetuju supaya jenazah anak mereka dikebumikan dalam satu liang lahad.

Mereka yang dipercayai terkorban dikenali sebagai Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16 tahun, Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15 tahun, Mohd Ikhmal Izzuddin Mohd Kamari, 16 tahun, Ahmad Faizal Aminuddin, 16 tahun, serta Mohamad Azhar Shah Rosli, 19 tahun - semuanya berasal dari Menglembu.

Turut dipercayai maut P. Thiagarajun, 40 tahun, juga pemilik perniagaan dari Buntong di sini.

Seorang bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45 tahun, ketika ditemui pemberita memaklumkan kesemua keluarga mangsa sudah mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk mengebumikan anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, Menglembu di sini.

“Kami harap proses pengecaman mayat dapat diselesaikan secepat mungkin agar dapat dikebumikan dengan segera kerana proses pengebumian jenazah telah disiapkan,” kata bapa kepada Mohd Nor Aiman itu.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Ikhmal Izzuddin, Mohamad Kamari Talib, 53 tahun, berkata keluarga mangsa telah dipanggil pihak hospital untuk memberi sampel darah bagi proses pengecaman mayat.

“Semalam ada lihat jenazah tapi memang tak dapat cam sebab keadaan mayat terbakar teruk, jadi pihak hospital memanggil kami untuk beri sampel darah," katanya.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB apabila keluarga mangsa hadir bagi proses pengecaman mayat.

Kesemua waris yang mula berkumpul di perkarangan hospital kira-kira pukul 8.30 pagi bagi proses tersebut dilihat gagal menahan kesedihan menceritakan tentang tragedi kepada saudara-mara yang hadir sama.