Kerajaan perhebat Kempen Beli Barangan Malaysia - Saifuddin

Kerajaan perhebat Kempen Beli Barangan Malaysia - Saifuddin
SAIFUDDIN: Kerajaan akan menjalin kolaborasi dengan beberapa syarikat yang terkemuka, memberikan pelbagai program galakan insentif kepada usahawan tempatan. - Gambar AirAsia
SEPANG: Kerajaan akan memperhebat Kempen Beli Barangan Malaysia dengan meningkatkan promosi produk usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk peranan untuk menasihati usahawan tentang kawalan kualiti, pengeluaran termasuk urusan lesen dan aduan.

Jelasnya, kerajaan terus memberikan sokongan kepada usahawan selain membuka pasaran baharu dalam bentuk latihan dan kursus bagi meningkatkan kualiti produk.

"Kerajaan akan menjalin kolaborasi dengan beberapa syarikat yang terkemuka, memberikan pelbagai program galakan insentif termasuk berkenaan struktur pengecualian cukai dan sebagainya atau memudahkan akses kepada sumber kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis AirAsia Menyokong Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia di sini, pada Khamis.

Kempen itu bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik dan meningkatkan kesedaran di peringkat global mengenai kualiti barangan buatan Malaysia.

AirAsia akan bekerjasama untuk mencari lebih ramai pengusaha produk tempatan untuk ditawarkan melalui menu dalam penerbangannya.

Selain itu, ia tidak akan mengenakan sebarang caj penyenaraian untuk lebih daripada 550 pengusaha tempatan yang ingin memperluaskan tawaran produk mereka ke platform perjalanan sehenti AirAsia, airasia.com serta laman e-dagang lain seperti OURSHOP dan ROKKI.

BACA: Sistem cukai negara mungkin akan diubah - Tun Mahathir

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sistem percukaian di negara ini berkemungkinan akan ditukar untuk memastikan peningkatan penggunaan produk tempatan.

Jelasnya, sikap rakyat yang memandang rendah produk negara turut menjadi faktor isu berkenaan.

Jelasnya, beberapa polisi kerajaan masa ini juga lebih menggalakkan import berbanding eksport.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menjelaskan, kerjasama itu memberi peluang pihaknya untuk mempromosikan produk tempatan kepada dunia.

Ujarnya, separuh daripada produk yang ditawarkan dalam menu Santan dan T&CO AirAsia adalah buatan Malaysia seperti Air Mineral Pendang, Kerepek Kentang BBQ T&CO dan Mi Udang Hokkien dan hanya boleh diperolehi dalam penerbangan AirAsia.

Tag: Mahathir Mohamad, Tony Fernandes, AirAsia, ekonomi, kerajaan, cukai, rakyat, usahawan, penerbangan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.