Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw menggesa agar kerajaan tidak mempolitikkan siasatan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaliknya fokus untuk menyelesaikan isu.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Seng Giaw berkata, siasatan berkenaan kes skandal yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak seharusnya dilakukan dengan telus mengikut lunas undang-undang tanpa membangkitkan keadaan sensasi yang dilihat mempunyai motif politik.

“Kalau hendak menyiasat, siasatlah senyap-senyap dan fokus. Semasa dalam siasatan tidak boleh buat kenyataan, panggil sidang media dan kemudian membuat tuduhan kepada pihak-pihak tertentu.

“Dalam siasatan ada prosedur. Seandainya ada pihak yang didapati bersalah semasa siasatan, dakwa atau lakukanlah pertuduhan kepadanya supaya yang dituduh dapat diadili di mahkamah.

“Bukannya setiap hari panggil sidang media dan dedahkan apa yang kononnya disiasat. Itu bukan siasatan tetapi hendak berpolitik, ada agenda lain. Siasatan dan sidang media adalah berbeza,” katanya.

Menurut Seng Giaw, pemimpin kerajaan tidak harus terbawa-bawa dengan kempen politik memandangkan PRU14 sudah selesai dan Pakatan Harapan telah berjaya menjadi kerajaan.

Katanya, berpolitik sepanjang masa dan mempolitikkan semua isu tidak mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul seperti yang uar-uarkan malah ia terbukti apabila pasaran saham negara jatuh semalam dan hari ini berikutan kebimbangan yang dicetuskan oleh situasi politik di negara ini.

“Kalau banyak cakap, asyik hendak buat siaran berita seperti sekarang hingga menjejaskan nama dan reputasi negara, maknanya tidak sayang kepada Malaysia. Mereka ini hanya sayang pada diri sendiri sahaja,” katanya.