KUALA LUMPUR:Kesan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan di beberapa negeri dan wilayah ketika ini tidak sama seperti PKP dilaksanakan Mac lalu.

Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Perkeso, Prof Madya Dr. Yusof Saari bagaimanapun berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan impak PKPB kali ini berada pada tahap yang seminimum mungkin.

"Saya melihat PKPB ini, kesannya tidak sama seperti kesan PKP dulu. Kesannya lebih minimum. Cuma keadaannya sekarang ini, seboleh-bolehnya kita nak meminimumkan kesan itu.

"... kerana kita tahu walaupun PKPB ini tidak sama seperti dulu, tetapi ada beberapa kekangan yang perlu dihadapi bukan sahaja di peringkat perniagaan dan isi rumah itu sendiri. 

"Yang pentingnya adalah bagaimana kerajaan memainkan peranan dalam memastikan kesan kepada orang ramai itu seminimum yang mungkin," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Selasa.

BACA: PKPB di Selangor, KL dan Putrajaya bermula 14 Oktober

BACA: PKPB di seluruh Sabah susulan peningkatan kes COVID-19

Malah katanya, bantuan dan sokongan dari kerajaan itu penting memandangkan PKPB yang diumumkan adalah turut melibatkan dua negeri dan wilayah yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

"Kita tahu PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor. Ini adalah dua negeri yang ekonominya sangat penting dan menjadi tulang belakang kepada ekonomi Malaysia. Kita nak bergerak  ke hadapan dalam proses pemulihan ekonomi dan kesannya perlulah minimum," ujarnya lagi.

Tambah beliau, sokongan dan bantuan secara bersasar perlu diberikan kepada mereka yang terjejas sumber pendapatan terutama pekerja kontrak dan harian.

"Tidak banyak sangat yang syarikat boleh lakukan. Paling penting, kerajaan boleh mudahkan, dan bantuan khidmat sokongan bersasar perlu.

"Amat penting kerajaan lihat secara mikro siapa terlibat, kawasan mana terlibat. PKPB bersifat nasional tidak akan berkesan, namun ia perlu bersifat mikro dan bersifat setempat," tambah beliau.

Beliau melihat PKPB kali ini juga tidak banyak memberi kesan barangan dan rantaian bekalan.

"Saya tidak nampak kesan rantaian bekalan. Masa PKP itu, rantaian itu tidak sangat mengganggu.  Namun, kita lihat juga bagaimana perniagaan menggunakan kaedah digital dan kaedah-kaedah lain yang boleh menampung atau alternatif kepada PKPB," kata beliau.