Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK) meminta kerajaan supaya segera memperkenalkan Akta Jenayah dan buli siber bagi mengenakan hukuman yang ketat dan berat kepada golongan pembuli siber.

Presiden MPMMK, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, peningkatan kes buli siber yang semakin mendadak menjadi asas kerajaan tidak boleh berlengah lagi untuk mewujudkan undang-undang berkenaan.

“Kita mengambil contoh dalam kes terbaharu kejadian buli siber terhadap seorang remaja yang menyamar sebagai ‘Inspektor Ramdan’ di Batu Pahat, Johor pada Ahad lalu.

"Belum pun dihadapkan ke mahkamah, remaja itu telah dijatuhi hukuman oleh ‘hakim’ di media sosial. Gambarnya bertebaran di media sosial.

"Facebook dan Instagram remaja itu diserang warganet dengan kata-kata kurang sopan, wajarkah tindakan sedemikian dilakukan? Siapa warganet untuk menjatuhkan hukuman kepada remaja berkenaan?" soalnya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Pada Ahad lalu, seorang remaja berusia 19 tahun yang menyamar sebagai 'Inspektor Ramdan' ditahan selepas dia menghampiri dua anggota polis yang sedang membuat tugasan pemantau dan pencegahan samseng jalanan di Batu Pahat, Johor.

BACA: Pelajar menyamar polis ditahan di Batu Pahat

Ketika diperiksa 'Inspektor Ramdan’ memiliki pistol plastik tiruan jenama Boale & Toyavn buatan China P193, baju kalis peluru berlogo PDRM, seragam operasi polis lengkap beramulet pegawai kanan polis berpangkat inspektor, tali pinggang berlogo PDRM dan sepasang but berwarna hitam.

‘Inspektor Ramdan’ kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan, 36(1) Akta Senjata 1960 dan 89 Akta Polis 1967.

Belum pun dihadapkan ke mahkamah, remaja itu telah dijatuhi hukuman oleh ‘hakim’ di media sosial termasuk gambarnya didedahkan dan diserang netizen dengan kata-kata kurang sopan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sebelum ini mencadangkan supaya Kanun Keseksaan (Akta 547) dipinda khususnya bagi menangani kes buli siber.

Jelas Gobind, kementeriannya ketika ini sedang berbincang dengan semua pihak lain termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung perkara ini.

Berdasarkan portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), buli siber yang teruk boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan.

Portal berkenaan turut memaklumkan, dalam kes-kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsanya membunuh diri.

Syed Mohammad Faiz berkata, jika satu akta khusus seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah dapat diwujudkan di negara ini, maka ia akan menjadi petunjuk bahawa kerajaan tegas dalam menangani permasalahan buli siber

"Bagi yang menjadi pembuli siber, pastinya tiada kesan dalam diri dan kehidupan mereka dan mereka boleh terus melupakan memadam perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu, tapi bagaimana pula dengan mangsa buli siber?

"Adakah mangsa buli siber tidak terkesan dalam diri mereka, bayangkan jika yang menjadi mangsa itu adalah golongan kanak-kanak. Jadi, perlunya hukuman ketat dan berat dikenakan terhadap pembuli siber ini bagi memberikan pengajaran apa dilakukan mereka adalah salah," ujarnya.

Selain itu katanya, masyarakat siber perlu berani membetulkan sebarang unsur buli serta melaporkan kepada pihak berwajib jika mengesan gejala itu.

"Tindakan sedemikian sewajarnya dilakukan bagi mengekang tindakan buli siber oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.