Persatuan Pengeksport dan Pengimport Makanan Kering Malaysia (MDFIEA) menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada keselamatan bekalan makanan domestik bagi memastikan bekalan makanan mencukupi di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Chuah Poh Kiang berkata persediaan harus dibuat kerana pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan gangguan yang teruk terhadap bekalan makanan dan rantaian pengeluaran global kerana kebanyakan negara mungkin menyekat pengeksportan makanan.

"Keutamaan kerajaan kini adalah untuk meningkatkan kecekapan import makanan dan bertindak pantas merangkan peraturan yang sewajar dalam memastikan bekalan makanan domestik tidak terjejas dalam jangka masa pendek hingga sederhana," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Chuah menegaskan beberapa langkah perlu untuk memastikan kelestarian rantaian bekalan makanan dengan mengenal pasti senarai bekalan berdasarkan permintaan pengguna dengan mengutamakan import atau mengeluarkan makanan ruji yang mempunyai permintaan tinggi.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu menyediakan bantuan yang mencukupi kepada golongan petani melalui program bantuan khusus bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran pertanian dalam negara.

"Mereka perlu mengoptimumkan kecekapan prosedur pengimportan makanan dan bekerjasama dengan negara pengeksport utama mengenai pelbagai isu bagi memastikan bekalan yang mencukupi.

"Menyekat orang ramai menyorokkan bahan makanan bagi mengelak kekurangan bekalan dalam pasaran dan kenaikan harga serta meningkatkan kecekapan logistik dan kapasiti penyimpanan bekalan makanan sambil mengurangkan pembaziran yang tidak perlu akibat kerosakan makanan," katanya.

Beliau berkata pelan jangka panjang yang menyeluruh diperlukan untuk menyelesaikan dilema kekurangan bekalan makanan domestik.

Chuah berkata kebergantungan kepada import makanan merupakan masalah lama dihadapi Malaysia berikutan kekurangan tanah pertanian untuk menghasilkan makanan, kekurangan pengeluaran untuk memenuhi keperluan domestik, isu cuaca, kecekapan yang rendah serta kos tinggi dalam mengeluarkan produk pertanian.

-- BERNAMA