Kerajaan Persekutuan memberi jaminan meneruskan agenda pertanian negara secara menyeluruh di Sarawak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata negeri itu mempunyai kawasan pertanian luas malah berpotensi untuk terus dibangun demi kelangsungan rakyat.

"Oleh itu, kita akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak bagi menjayakan sektor pertanian di negeri ini," katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak di Kuching malam tadi.

Jelasnya, beliau akan berjumpa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg pada Jumaat bagi memastikan kelancaran agenda pertanian di negeri itu.

"Ini kerana kita mahu memastikan sektor pertanian ini terus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah sekali gus menaikkan taraf hidup masyarakat," katanya.

Kata Salahuddin, banyak agenda yang telah dirancang kerajaan termasuk terus bekerja keras demi membalas mandat rakyat.

Pada majlis sama, Timbalan Presiden Amanah itu turut menerima penyerahan borang keahlian parti Amanah cawangan Sebuyau.