Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bakal mempertingkatkan usaha mencegah penipuan pakej umrah yang telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Timbalan menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata masih ramai pengguna yang mudah tertipu dengan tawaran harga murah yang tidak masuk akal.

Kebanyakan agensi pelancongan yang menawarkan pakej murah ini menjalankan perniagaan secara atas talian.

Pelanggan pula, katanya, tidak cukup pemahaman untuk menyemak pakej berkenaan sebelum membuat bayaran.

"Pihak kami membuat pemantauan dari segi penguatkuasaan dari masa ke semasa. Saya juga ingatkan orang ramai supaya peka dan tampil ke hadapan jika ada sebarang kemusykilan atau aduan.

"Kita tidak boleh bertindak jika tiada aduan. Kita juga bekerjasama dengan pihak lain seperti polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Umrah dan Haji 2016 di sini, hari ini.

Menurut statistik terkini, sebanyak 60 aduan direkodkan sejak Januari hingga September tahun ini.

Manakala, lebih 84 aduan direkodkan pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 51 aduan berbanding tahun 2014.

Hasil penguatkuasaan kementerian juga telah berjaya mengenal pasti agensi-agensi yang terlibat.

Sehingga kini, 11 agensi telah ditarik lesen sementara satu lagi telah dilarang membuat sebarang aktiviti luar.

Kompound yang dikenakan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam penipuan pakej umrah pula adalah sebanyak RM380,000.