Kerajaan seharusnya lebih peka kepada keperluan peneroka Felda yang kini terjejas teruk berikutan kejatuhan berterusan harga kelapa sawit.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, fokus kerajaan seharusnya ke arah untuk meningkatkan harga kelapa sawit daripada terus merosot bagi mengelak 112,635 peneroka terus terkesan.

Justeru, beliau menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi perhatian serius kepada kebajikan kesemua peneroka Felda.

"Peneroka Felda terjejas teruk. Pengumuman bantuan khas RM300 seorang sudah cukup untuk menggambarkan kegagalan kedudukan ekonomi di bawah pentadbiran Guan Eng.

"Kamu (Guan Eng) jangan jadikan nasib peneroka Felda tidak menentu kerana kegagalan sendiri mentadbir ekonomi. Mereka membekalkan buah sawit kepada negara. Jika harga komoditi itu turun, ia semata-mata kerana usaha kamu untuk meningkatkan harga sawit telah gagal.

"Mereka hanya bergantung pendapatan kepada buah-buah sawit yang dihasilkan. Bukan tanggungjawab mereka untuk menentukan harga sawit. Ia adalah tanggungjawab kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.

BACA: Felda dirayu tangguh kutip hutang peneroka sempena Aidilfitri

BACA:
Harap peneroka bersabar - Yang di-Pertuan Agong

Kerajaan sebelum ini dilaporkan sudah membayar balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan berjumlah RM17.1 bilion daripada RM37 bilion tunggakan kepada pembayar cukai setakat 30 April lalu.

Bayaran itu dibuat daripada dividen khas sebanyak RM30 bilion yang akan diterima kerajaan daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) seperti diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018.

Mengikut pecahan, setakat 30 April lalu dividen khas diterima daripada Petronas ialah RM16 bilion dengan bayaran balik GST ialah RM9.5 bilion membabitkan 76,002 kes.

Dalam pada itu, Bastien turut mempersoal tindakan kerajaan tidak menggunakan 0.2 peratus wang dividen Petronas untuk menampung 'duit raya' peneroka Felda yang sedang tertekan dengan harga komoditi sawit.

"Baru berjumlah RM80 juta. Inilah masalahnya apabila kita mempunyai seorang Menteri Kewangan yang tidak mempunyai perasaan kepada peneroka Felda.

"Semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), peneroka Felda mendapat bantuan khas sebanyak RM780," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menasihatkan peneroka Felda supaya bersabar dengan keadaan harga kelapa sawit yang tidak menentu ketika ini.

Seri Paduka bertitah, baginda dapat merasai dan memahami kedudukan masyarakat peneroka ketika ini dan berharap mereka memberi kepercayaan kepada pengurusan baharu Felda serta kerajaan mencari jalan keluar daripada masalah berkenaan secepat mungkin.

BACA: Tun M sahkan bantuan RM300 kepada peneroka Felda

BACA:
Felda nafi dakwaan peneroka berisiko kehilangan hak ke atas tanah

Sementara itu, Bastien memberitahu, Pemuda UMNO telah turun berjumpa rakyat serta mengambil peluang mendekati setiap lapisan masyarakat Islam sepanjang bulan Ramadan.

"Pemuda UMNO seluruh Malaysia telah berjumpa dengan rakyat semasa menghulur bantuan dalam pelbagai siri program, lawatan serta ziarah Ramadan dan mendengar keluh kesah yang berkisar kepada masalah sara diri yang menghimpit.

"Kebanyakan mereka menyatakan tentang kedudukan sara diri yang saban hari menjadi bebanan berat. Ada yang terpaksa meminjam duit keluarga dan rakan-rakan, perusahaan kecil yang terpaksa gulung tikar, perniagaan yang tidak menguntungkan, kereta yang terpaksa ditarik kerana tidak mampu dibayar, harga barangan yang semakin meningkat, peningkatan bil-bil kemudahan dan hilang pekerjaan.

"Banyak yang hilang pekerjaan atau terpaksa menerima potongan gaji untuk kekal bekerja di syarikat yang sama. Guan Eng perlu tahu bahawa keadaan ini tidak langsung menggambarkan kedudukan ekonomi yang dia sering banggakan," jelasnya.

Katanya, kedudukan buruk nilai ringgit berbanding USD, eksport serta import yang tidak mampan, jumlah pelaburan yang menurun, kemusnahan pasaran saham Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menjadi punca ramai hilang pekerjaan dan mata pencarian.

"Kebijaksanaan Menteri Kewangan yang menipu dunia tentang kedudukan hutang negara dan polisi cukai yang gagal menyebabkan kedudukan ekonomi negara terjejas.

"Sebagai pembangkang, saya dan rakan-rakan Pemuda UMNO akan terus memantau dan memainkan peranan menyampaikan suara hati rakyat yang terkesan dengan kegagalan kerajaan untuk mentadbir ekonomi negara," ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Bastien memberi pandangan lebih elok jika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan terus kerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah.

Tegasnya, pandangan itu termasuk selepas kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul bahawa semua permasalahan di Kedah akan berubah sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Pemimpin yang ada di dalam itu semuanya memalukan. Contoh lain seperti apa yang diperkatakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semasa di 18th IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue (SLD) Singapura.

"Sejak bila pula kita mengharapkan kapal perang Amerika untuk mengejar kapal perang China bila berhadapan dengan isu kedaulatan negara. Mana tentera Malaysia?

"Kerana itu, saya sarankan lebih baik Dr Mahathir tinggalkan sahaja DAP, PKR dan Amanah ni," katanya.