Projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang adalah tidak sah untuk dilaksanakan buat masa ini jika kerajaan negeri berdegil untuk meneruskannya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia berikutan terdapat banyak laporan yang masih belum diterima sehingga kini daripada pihak pemaju dan kerajaan negeri iaitu laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), kajian impak sosial dan politik serta kajian impak perikanan.

"Kerajaan negeri jangan (berdegil) walaupun ada perlembagaan di sebaliknya...mereka boleh membangunkan apa sahaja yang mereka mahu, keputusan untuk membangun, perancangan semua itu kalau di bawah Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) menolak ia akan melanggar undang-undang.

"Saya menyeru supaya kerajaan negeri jangan berlandaskan perlembagaan sahaja, lihat undang-undang persekutuan dan negeri yang ada khususnya EIA...(EIA) sudah lulus ke tidak (sebelum melaksanakan projek)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jamuan Rakyat di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Wan Junaidi turut menerima nota bantahan penambakan laut daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang.

Wan Junaidi berkata, secara peribadi beliau tidak bersetuju projek tambakan laut itu diteruskan berikutan ia bukan sahaja memberi kesan kepada sumber laut yang akan menjejaskan pendapatan nelayan malah bakal mengubah tebing benua di negeri ini.

"Tebing benua Pulau Pinang akan berubah. Pulau Pinang itu sendiri akan berubah wajah. Pantai kita kalau ditimbus lebih tiga batu nautika maknanya kita punya 'continental shelves' berubah ke laut dan ia akan memasuki perairan antarabanagsa. Ini memberi gambaran bahawa saya tak boleh bersetuju dengan penimbusan sebegitu rupa," katanya.

Beliau berkata, isu yang membabitkan perairan antarabangsa perlu diambil kira oleh kerajaan negeri sebelum melaksanakan projek berkenaan.

"Projek ini bukan macam cadangan di negeri-negeri lain yang mana buat pulau sahaja, yang terbesar sekarang kita lihat di Johor. Dalam keadaan buat pulau itu sahaja kita ada masalah sedikit dengan pihak Singapura. Kita tak mahu keadaan ini berlaku. Kita ada masalah dengan perairan antarabangsa itu," katanya.

Justeru, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan meminta MPFN untuk mempertimbang semula cadangan kerajaan Pulau Pinang itu kerana dilihat banyak memberi implikasi kepada rakyat dan alam sekitar.

Menurut laporan media, projek tambakan laut itu meliputi kawasan seluas 809.73 hektar di Permatang Damar Laut dan pembinaan tiga pulau buatan dikhuatiri merosakkan ekosistem sekali gus menjejaskan sumber pendapatan 1,700 nelayan di kawasan berkenaan.

Projek tambakan laut bagi pembinaan tiga pulau buatan itu termasuk dalam cadangan pelaksanaan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang turut mengandungi sebuah terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer, tiga lebuh raya dan Penang Sky Cab.

-- BERNAMA