Kerajaan Pulau Pinang nafi lulus sukan bogel

Kerajaan Pulau Pinang nafi lulus sukan bogel
Kerajaan Pulau Pinang nafi lulus sukan bogel - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah membenarkan mana-mana aktiviti sukan bogel diadakan di negeri itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dipetik Malay Mail berkata, kerajaan negeri tidak meluluskan apa juga acara bogel termasuk 'Malaysia  Nude Sports Games 2104' yang dikatakan dianjur dua bulan lepas di Teluk Bahang.

"Kita tidak membenarkan kasino di negeri ini sekali gus apa-apa juga aktiviti negatif termasuk sukan bogel sebegini," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Guan Eng mengulas satu rakaman video berdurasi 5 minit 22 saat melibatkan aksi bogel seramai 18 orang yang dikatakan dirakam di sebuah pulau di Teluk Bahang, Pulau Pinang tersebar di beberapa blog dan laman sosial pada Selasa.




Video bertajuk "Malaysia  Nude Sports Games 2014" itu merupakan aksi peserta bogel yang berusia 30 sehingga 45 tahun dan difahamkan diadakan sekitar Jun lepas.

Mengikut sumber beberapa blog, sukan yang didakwa dianjurkan Kelab Sukan Bogel Pulau Pinang itu diketahui dan diluluskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri.

Video itu memaparkan aksi lapan lelaki dan tiga wanita tidak berpakaian melakukan aktiviti di tepi pantai di kawasan tempat persendirian di sebuah rumah peranginan.

Sukan itu dimulakan dengan aktiviti menghias badan peserta dengan cat dan kemudian aktiviti susulan di tepi pantai.





Ia diakhiri dengan aktiviti sukan di hadapan unggun api di tepi pantai.

Video itu turut mendapat pelbagai reaksi di media sosial.