Permohonan kerajaan negeri Sarawak untuk meningkatkan royalti minyak dan gas dari 5 ke 20 peratus kini dalam pertimbangan kerajaan pusat.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menjelaskan kerajaan negeri tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya berterima kasih dengan kesediaan kerajaan pusat mempertimbangkan permohonan itu.

"Kita juga terima kasih kepada kerajaan kerana menimbang baik permohonan kita untuk menaikan royalti Sarawak dari lima sampai 20 peratus... beliau belum beritahu boleh atau tidak boleh, tapi beliau beritahu dia boleh timbang dengan baik.

"Cukup dulu... satu demi satu, dia sokong baik, terima kasih," kata Adenan ketika berucap pada Majlis Memulakan Kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi jajaran Telok Melano ke Sematan.

Majlis memulakan kerja pembinaan tersebut dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.