Kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Ekonomi untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memulihkan ekonomi negara akibat kesan daripada wabak COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, strategi pelan berkenaan dapat merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19.

Katanya, usaha itu antara strategi jangka panjang merangkumi langkah melestarikan teras ekonomi, alam dan sosial negara.

"Perkara ini adalah saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan Malaysia memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

“Kami di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) juga akan menyusun semula Pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan mengambil kira keadaan ekonomi terkini.

"Walaupun Pelan RMK-12 hampir sudah siap, kita terpaksa mengkaji semula beberapa sasaran dalam RMK-12 akibat kesan ekonomi dunia daripada COVID-19 yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara dan seluruh dunia menjadi perlahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Arthur berkata, kerajaan juga sentiasa realistik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal berada di landasan pembangunan yang mampan dan inklusif.

Jelas beliau, antara yang perlu dilihat adalah kebergantungan kepada sektor minyak dan gas yang menyumbang sebanyak 20 peratus kepada pendapatan Kerajaan.

"Akibat daripada penurunan harga minyak yang mendadak, maka pendapatan negara juga terjejas.

“Selain itu, pendapatan negara daripada industri pelancongan juga turut terjejas. Oleh itu, kita mungkin perlu lebih bergantung kepada pelancong domestik.

"Jadi apa jua perancangan yang hendak dilaksanakan kita perlu melihat kepada kedudukan kewangan dan hasil negara terlebih dahulu," katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan akan berusaha dengan lebih agresif untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara selain mempelbagaikan lagi sumber pendapatan negara.

"Kita akan merangka langkah yang lain juga untuk merancakkan lagi ekonomi domestik negara.

"Buat masa ini, kerajaan merancang untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi secara berperingkat adalah bagi memastikan keadaan ekonomi kembali pulih," ujarnya lagi.

Selain itu katanya , hasrat Perdana Menteri untuk mempercepatkan lagi proses pendigitalan masyarakat dilihat sebagai sesuatu yang akan diberikan penekanan khusus.

Ini kerana dengan PKP yang memerlukan penjarakan sosial, masyarakat perlu lebih bergantung kepada urusan secara digital dan atas talian.

Selain itu buat masa ini, Kerajaan merancang untuk membuka semula beberapa sektor ekonomi secara berperingkat adalah bagi memastikan keadaan ekonomi kembali pulih.