Kerajaan Negeri Sabah akan membenarkan semula aktiviti bot pam yang sebelum ini diharamkan bagi membolehkan semua nelayan menjalankan kegiatan mereka di laut.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu diambil bagi membantu masyarakat nelayan miskin di peringkat akar umbi di negeri ini untuk meningkatkan mata pencarian mereka.

Jelas beliau, sekiranya langkah membenarkan semula penggunaan bot pam itu menjadi peralatan digunakan pihak anasir jahat, pihak kerajaan dijangka akan membuat bot pam sendiri untuk mengejar mereka (penjenayah) di perairan cetek.

Untuk rekod, sebelum ini kerajaan terdahulu menguatkuasakan larangan interim sejak Januari 2017 bagi pengunaan bot pam dengan alasan meningkatkan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

"Tetapi untuk mengharamkannya ini salah satu boleh menghalang dari segi mata pencarian nelayan-nelayan yang miskin di pesisiran pantai.

"Dengan adanya pam bot ni semula, nelayan miskin juga boleh main peranan tingkat ekonomi di kawasan mereka. Insya-Allah kita akan maklumkan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah supaya kita lakukannya termasuklah penguatkuasaan dari segi ban and export pembalakan yang termaktub dalam manifesto 100 hari kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Iftar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, hari ini.

Mohd Shafie sebelum itu mengadakan lawatannya di IPK dan menghadiri taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkenaan isu keselamatan di negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu Perintah Bekurung, Ketua Menteri berkata, kerajaan baharu akan menilai kebaikan pelaksanaannya dan melihat ianya menunjukkan keberkesanan positif.

"Direkodkan, kadar jenayah di perairan Pantai Timur Sabah juga semakin berkurangan dengan adanya perintah berkurung.

"Bagaimanapun, kami akan memantau langkah itu (perintah berkurung) sama ada ia wajar dilanjutkan atau tidak supaya kita dapat mengatasi ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Perintah berkurung mula diperkenalkan pada 19 Julai 2014 itu meliputi jarak tiga batu nautika dari pantai dan membabitkan tujuh daerah di Esszone.

Bermula pada jam 6 petang hingga 6 pagi, ianya turut melibatkan tujuh daerah termasuk Tawau, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.