Kerajaan Negeri Sabah perlu merealisasikan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dengan menstrukturkan semula organisasi sedia ada seperti yang dijanjikan dalam manifesto parti yang membentuk kerajaan ketika ini.

Menurut Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, inisiatif itu dapat dilakukan dengan menggembleng tenaga kerja sedia ada melalui penjajaran semula fungsi yang tidak relevan, memanafaat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), peningkatan kecekapan dan kompetensi penjawat awam.

“Dengan gelombang perubahan yang terus berkembang, perkhidmatan awam negeri perlu bersedia menangani cabaran-cabaran seperti Revolusi Industri 4.0 dan aspirasi kerajaan semasa.

“Dengan itu, perkhidmatan awam negeri perlu berubah dan mewujudkan rangka tindakan yang mampu bergerak ke hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-15, di sini, hari ini.

Usaha untuk mencapai sasaran Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPAs) di negeri ini juga akan diperkasakan sehingga mencapai 30 peratus atau 2.2 juta hektar menjelang tahun 2025.

Juhar menyatakan, ketika ini Kawasan Terlindung Sepenuhnya di negeri ini ialah seluas 1.9 juta hektar iaitu lebih dari 26 peratus keluasan tanah negeri Sabah dan merupakan Kawasan Terlindung Sepenuhnya yang terbesar di Asia Tenggara.

Tambah Juhar, dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini, usaha harus dipertingkatkan untuk melaksanakan pelbagai program yang boleh menambah pendapatan dan memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyat.

“Pelbagai usaha juga harus dilaksanakan untuk memperkasa golongan wanita di kawasan luar bandar supaya dapat menyumbang secara efektif kepada pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.”

“Kerajaan juga perlu meneruskan program-program yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat berkeperluan melalui pelbagai program dan projek pembangunan masyarakat," katanya lagi.