Kerajaan pada Jumaat bersetuju menyalurkan insentif penuh berjumlah RM130 juta kepada semua pekebun kecil kelapa sawit untuk membantu mereka mendapatkan pensijilan Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO) secara percuma, kata Menteri Perusahaaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menjelang pelaksanaan mandatori MSPO pada akhir tahun 2019, pemberian insentif berkenaan dapat mengurangkan bebanan kewangan kepada pekebun kecil bagi menampung yuran pengauditan pensijilan tersebut, katanya.

"Kita merancang untuk melaksanakan audit secara berkelompok ke atas hampir 650,000 pekebun kecil melibatkan keluasan hampir 2 juta hektar ladang sawit," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Buat masa ini, beliau berkata hanya empat peratus atau kira-kira 244,622 hektar ladang termasuk 7,113 hektar di bawah para pekebun kecil serta 22 kilang yang memiliki secara sukarela sijil MSPO sejak ia mula diperkenal pada Januari 2015.

"Kita tidak mahu kerana pensijilan tersebut membabitkan kos yang tinggi hanya ladang yang dimiliki syarikat-syarikat mampu untuk memiliki MSPO dan pekebun kecil pastinya merasa terpinggir," katanya.

Mah berkata pemberian insentif itu akan melibatkan 40 peratus daripada 5.7 juta hektar keseluruhan penanaman kelapa sawit di Malaysia.

"Dengan pemberian insentif itu juga kementerian menyasarkan menjelang akhir tahun ini, hampir 500,000 hektar ladang sawit akan memiliki pensijilan MSPO dan angka tersebut akan terus meningkat pada tahun hadapan.

"Kementerian juga akan membuat roadshow bagi memberi penerangan kepada para pekebun kecil mengenai kepentingan memiliki sijil tersebut terutamanya untuk memastikan industri sawit tempatan terus mapan di masa akan datang," katanya.

Menerusi pelaksanaan skim pensijilan MSPO tersebut, beliau berkata produk sawit akan mendapatkan nilai premium di pasaran antarabangsa selaras dengan permintaan negara seperti Eropah yang hanya membenarkan untuk mengimport produk sawit dengan pensijilan yang diiktiraf.

Berbanding proses pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), MSPO dilihat lebih sesuai dilaksana di negara ini serta kos pelaksanaannya yang lebih rendah, katanya.

"Walaupun buat masa ini tiada negara yang mengiktiraf sijil MSPO, kita mengharapkan dengan pelaksanaan mandatori menjelang akhir 2019 nanti secara langsung menunjukkan bahawa MSPO adalah sijil yang dibangunkan berdasarkan undang-undang dan peraturan domestik turut memiliki amalan terbaik kemampanan," katanya.

"Kami yakin MSPO akan diterima baik oleh pemain industri tempatan dan seterusnya pihak kementerian akan mempromosi secara giat pensijilan MSPO di luar negara bagi memastikan ianya diiktiraf di pasaran antarabangsa,"katanya.

Mah berkata maklumat lanjut berkenaan insentif dan langkah-langkah permohonan akan dimuat naik di laman sesawang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam masa terdekat.

--BERNAMA