SHAH ALAM:Kerajaan Negeri Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin COVID-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha itu disambut baik oleh kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasrat kerajaan negeri itu dilihat sedikit sebanyak dapat meringankan beban kerajaan Persekutuan dalam urusan pembelian vaksin.

"Semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (Darurat), Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin turut sedar dengan hasrat Selangor ini dan ia disambut baik kerajaan Persekutuan kerana beban mereka (membeli vaksin) akan berkurangan.

"Setakat ini, hanya Selangor dan Sarawak berhasrat membeli vaksin untuk rakyat negeri masing-masing," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Beliau akan mengumumkan perkembangan terbaharu berhubung pembelian vaksin itu dalam masa terdekat kerana perkara itu memerlukan pengesahan KKM.

Katanya, kerajaan negeri Selangor akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan menerusi Pelan Imunisasi Negara bagi mengelak berlaku pertindihan dalam usaha menangani virus itu selain memastikan semua golongan sasar terutama pekerja mendapat vaksin kerana mereka memainkan peranan penting dalam memacu kembali ekonomi pasca COVID-19. - BERNAMA