Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengambil untung daripada penjualan harga runcit petrol sepanjang tahun ini.

Guan Eng menambah, dakwaan bahawa kerajaan telah mula mengenakan cukai jualan terhadap minyak RON95 atau diesel juga adalah “palsu” dan “tidak berasas”.

Katanya, kerajaan meneruskan subsidi bagi petrol dan diesel pada November tahun lalu, walaupun dalam jumlah yang lebih rendah.

“Rekod rasmi terkini menunjukkan bahawa pada bulan November 2018, kerajaan telah membelanjakan RM4.1 juta untuk subsidi petrol RON95 sepanjang bulan tersebut.

“Pada bulan yang sama, kerajaan telah membelanjakan RM209.1 juta untuk subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengikut data yang dikongsi kementerian itu, jumlah keseluruhan subsidi yang diberi kerajaan bagi RON95, RON97 dan diesel adalah sebanyak RM4.98 bilion dari Januari hingga November 2018, dengan angka bagi Disember masih lagi dikumpul.

Pada 24 Disember, kerajaan mengumumkan akan menghentikan penetapan harga runcit petrol secara subsidi, sebaliknya kembali kepada mekanisme pengapungan memandangkan harga minyak mentah global menurun.

Jumlah subsidi minyak mengikut bulan.

Pelaksanaannya bagaimanapun ditangguhkan seminggu kemudian ditangguhkan ekoran tentangan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), yang mendakwa keputusan itu akan merugikan pengusaha stesen minyak.

Difahamkan persatuan itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan mekanisme terbaik untuk menetapkan harga runcit petrol.

Bagaiamanapun, sebarang maklumat daripada pertemuan tersebut tidak dikongsikan kepada media.

Sementara itu Guan Eng berkata, kerajaan komited untuk menurunkan harga minyak di pam sekiranya harga minyak mentah dunia menyusut.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kerajaan akan melaksanakan mekanisme pengapungan pada Januari 2019 di mana harga runcit akan menurun secara mingguan jika harga APM terus menurun.

“Jika harga APM meningkat, harga runcit akan distabilkan kepada kadar semasa iaitu RM2.20 per liter bagi RON95 dan RM2.18 per liter bagi diesel," katanya.

Harga minyak di pam dijangka diumumkan pada Jumaat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, harga petrol dan diesel akan diapungkan sepenuhnya mengikut harga pasaran apabila kerajaan melancarkan program subsidi petrol bersasar sebelum akhir tahun ini.