Kerajaan akan mengambil langkah intervensi seperti mengenal pasti kemahiran yang diperlukan industri serta mengarus perdana pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam usaha menangani masalah pengangguran terutama dalam kalangan belia.

Langkah lain yang diambil untuk mencapai objektif itu ialah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan membudayakan keusahawanan, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut laporan itu, antara faktor yang menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran.

"Keadaan ini menggambarkan bahawa pengalaman bekerja merupakan faktor utama bagi kebolehpasaran. Majikan turut meletakkan komunikasi sebagai kemahiran penting dalam proses pengambilan pekerja," jelas laporan itu.

Ini diikuti pengalaman bekerja, kemahiran interpersonal, semangat dan komitmen selain kerja berpasukan, kelayakan yang relevan, keputusan akademik yang baik, keinginan untuk belajar, kebolehan bekerja di bawah tekanan dan sikap proaktif.

Dalam pada itu, laporan itu menyebut kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk menggalakkan syarikat membantu graduan meningkatkan kemahiran teras dan insaniah menerusi latihan semasa kerja.

"Sehingga 31 Ogos 2018, seramai 125,986 graduan telah dibantu secara langsung dan tidak langsung melalui pelbagai program," menurut laporan itu.

Pada masa ini, 539 syarikat merangkumi 514 syarikat swasta dan 25 syarikat berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Maybank, CIMB, Axiata, Celcom, Huawei dan Intel sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

-- BERNAMA