Kerajaan hari ini menarik semula Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2016 (Akta 164), yang antara lain bertujuan menyelesaikan isu berbangkit di mahkamah tentang pasangan suami atau isteri yang memeluk Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata Peraturan Mesyuarat 62 telah digunakan untuk menarik semula Rang Undang-Undang tersebut.

“Pindaan ini dibuat agar tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip doktrin stare decisis di mana keputusan Mahkamah tertinggi terhadap pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat.

“Bagaimanapun, kerajaan telah meminda Rang-Undang-Undang tersebut untuk dibacakan kali pertama dan dibahaskan dalam sidang kali ini dengan mengugurkan Fasal 88A.

“Notis pemberitahuan terhadap Rang Undang-Undang yang baharu telah dihantar kepada Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azalina berkata kerajaan berharap semua pihak mengambil perkara ini secara positif demi memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Justeru semua pihak diharap menyokong Rang Undang-Undang baharu ini dan tidak mempolitikkan isu ini,” tambahnya.

Rang undang-undang itu dibentangkan buat pertama kali oleh Azalina pada November tahun lepas.

Pindaan Akta itu menyentuh cadangan status agama anak pasangan yang bercerai dikekalkan mengikut perkahwinan asal.

Selain itu, penukaran agama anak-anak kepada Islam dicadang dibenarkan jika mendapat persetujuan bersama kedua-dua ibu bapa dan tertakluk kepada keinginan anak apabila mereka mencapai umur 18 tahun.

Pindaan itu turut memberikan hak kepada suami atau isteri yang telah memeluk agama Islam untuk memfailkan petisyen perceraian bagi membubarkan perkahwinan sivil mereka yang termaktub di bawah subseksyen 51 (1) rang undang-undang itu.

Pada masa ini, akta itu tidak memberi hak kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam untuk memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, kerana hak untuk membubarkan perkahwinan hanya diberikan kepada suami atau isteri yang tidak memeluk Islam.

Oleh itu, selagi suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, perkahwinan sivil suami isteri yang berbeza agama itu masih dianggap sah dan berterusan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976.

Pindaan akta itu turut memberikan hak yang sama rata dalam memberikan persetujuan bagi perkahwinan kepada ibu atau ibu angkat seseorang yang di bawah umur 21 tahun, sama seperti diberikan kepada bapa yang dimaktub dalam Fasal 3 subseksyen 12 (1) rang undang undang itu.