Walaupun kumpulan pendapatan B40 dikatakan sebagai pemenang dalam Belanjawan 2019, kerajaan tidak mengabaikan kumpulan pendapatan M40, kata Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

"Jangan bimbang. Saya fikir kerajaan Pakatan Harapan telah pergi sejauh yang mereka dapat dan memberi tumpuan kepada kategori B40 dahulu, yang menunjukkan keutamaannya. Kumpulan berpendapatan sederhana boleh menunggu seketika untuk mendapat lebih banyak konsesi.

"Rom tidak dibina dalam sehari. Anda tidak boleh membuat perubahan radikal dalam belanjawan dalam tempoh setahun apabila kekangan itu sangat teruk, pendapatan merosot, perbelanjaan dan hutang meningkat dan kita perlu melihat defisit belanjawan, oleh itu ia mengambil sedikit masa," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kebimbangan mengenai ketidaksamaan pendapatan yang semakin meluas di negara ini, yang disuarakan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Dalam satu kenyataan semalam, MPM berkata, Belanjawan 2019 tidak menangani perbezaan besar dalam pendapatan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, antara kumpulan bandar dan luar bandar dan antara kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20.

Kepada kenyataan Perunding Ekonomi MPM, Datuk Akhbar Ali bahawa penjualan aset kerajaan dalam syarikat bukan strategik adalah mencurigakan, Ramon menyifatkannya sebagai tidak adil kerana penjualan itu boleh menjana pendapatan yang boleh memberi faedah kepada golongan miskin.

Dalam Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencadangkan empat langkah untuk memanfaatkan aset kerajaan, termasuk mengurangkan pegangannya dalam syarikat bukan strategik dan melaksanakan model perkongsian awam-swasta untuk projek awam berkaitan transaksi pertukaran tanah melalui mekanisme tender terbuka.

Ramon berkata, melalui Belanjawan 2019, golongan kaya dapat berbuat lebih banyak untuk membantu kumpulan B40 dan M40, seperti dengan menaikkan cukai kekayaan dan cukai harta pusaka.

"Kita inginkan pengagihan pendapatan yang lebih baik, pertumbuhan yang lebih seimbang dan masyarakat yang lebih adil ... dan inilah cara ke depan ... barulah kita akan mempunyai lebih banyak kestabilan dan perpaduan negara," katanya.

Kerajaan telah mencadang untuk memperuntukkan RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion dalam Belanjawan 2018.

Daripada jumlah ini, RM259.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

-- BERNAMA