Kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam apa juga bidang yang disertai wanita di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, data kajian yang diperolehi menunjukkan kaum wanita lebih menonjol dan menunjukkan persaingan tinggi dalam bidang-bidang lain iaitu ekonomi, pendidikan dan juga kesihatan.

Jelasnya, ia hanya menunjukkan kurangnya penguasaan atau penglibatan wanita dalam bidang politik di dalam negara.

BACA: Wanita UMNO tidak 'goyang' dengan sebarang cabaran - Kak Jat

Ujarnya, penilaian skor daripada Global Gender Gap Report 2017 oleh World Economic Forum menunjukkan kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita di negara ini.

"Data menunjukkan lebih 86,798 wanita masuk universiti berbanding lelaki, meningkat daripada 67,734 orang pada 2009, dan laporan itu meletakkan skor pencapaian wanita di negara ini lebih tinggi berbanding lelaki, iaitu dalam bidang pendidikan (0.991), kesihatan (0.977), dan ekonomi (0.654)

"Ketidaksamaan gender cuma ketara dalam segi politik," katanya semasa berucap pada perasmian Program Women Power Talk anjuran Wanita UMNO dengan tema – "Advancing U Through Media" di sini hari ini.

Pada majlis sama, Salleh turut merasmikan portal wanita profesional Pergerakan Wanita UMNO.

Dalam pada itu katanya, penilaian kajian data harus dibuat dari aspek ekonomi, pendidikan dan kesihatan untuk membuktikan tiada unsur diskriminasi dilakukan.

Dalam laporan itu, Malaysia berada di kedudukan 104 daripada 122 negara, dengan skor 0.670, satu kedudukan yang dilihat setara dengan negara-negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Luxembourg.

Salleh berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil berat dan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan kaum wanita dalam bidang-bidang yang disebutkan, terutama sekali yang digariskan sebagai kriteria oleh laporan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapannya berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif sayap itu untuk bersama-sama golongan professional dan wanita bekerjaya, dari pelbagai lapisan masyarakat, merentasi sempadan ideologi dan bangsa.

Turut diadakan diskusi bersama ahli panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek, Juru runding imej, motivasi dan pengusaha fesyen Datin Sharifah Shawati Syed Mohd, Penulis skrip dan blog Adza Irdawati Adenan dan Pengarah Pembangunan Perniagaan LeadWomen Sdn Bhd Dr Marcella Lucas

Sementara moderator bagi diskusi ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid.

Program Women Power Talk merupakan program tahunan Wanita UMNO yang menghimpunkan tokoh-tokoh wanita daripada bidang politik, pasukan beruniform, serta pemimpin organisasi kerajaan dan korporat.