Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah lepas tangan dalam isu kenaikan harga barang.

Katanya, kerajaan sebaliknya sentiasa memantau mana-mana pekedai yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang berlebihan selain memberikan bantuan subsidi kepada rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Kita telah keluarkan subsidi berjumlah RM26 bilion secara bersasar termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan kepada nelayan, petani serta pesawah.

"Memang dalam proses penukaran kepada sistem yang lebih cekap, akan ada pihak-pihak yang terjejas terutama mereka yang berpendapatan rendah. Jadi di sini kerajaan datang tolong...itu sistem kita," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Perasmian Pertubuhan Persahabatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan pihak pembangkang yang mengatakan kerajaan berlepas tangan dalam isu kenaikan harga barang yang didakwa berikutan pelaksanaan GST.

"Memang betul harga naik... Masa pertama kali kita laksanakan sistem GST ini, harga naik sebab peniaga yang tak pernah bayar cukai sebelum ini dah kena bayar untuk pertama kali, terpaksa naikkan harga barang untuk 'cover' kenaikan kos.

"Lama-kelamaan bila kita berikan masa sedikit, mereka akan 'compete' sesama mereka. Mereka tak boleh terus-menerus naikkan harga barang sebab pengguna lebih bijak memilih barangan," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Beliau turut menempelak pihak pembangkang yang masih tidak faham mengenai isu pelaksanaan sistem cukai GST dan menjelaskan bahawa GST adalah sistem pencukaian bagi menggantikan sistem Cukai Jualan (SST) sebelum ini yang tidak cekap.

Katanya melalui sistem GST, ia mampu menjejak pembayar-pembayar cukai yang lari daripada membayar cukai, satu kelebihan yang tidak ada pada sistem cukai SST.

-- BERNAMA