Kebajikan untuk kaum India di Wilayah Persekutuan tidak pernah terabai kerana kerajaan komited untuk memastikan kebajikan setiap warga kota terbela, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata masyarakat India diminta tidak melepaskan pelbagai peluang yang disediakan kerajaan antaranya rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta pinjaman perumahan khas buat kaum India.

"Kerajaan memperuntukkan dana khas sebanyak RM50 juta kepada Yayasan Wilayah Persekutuan bagi pembeli kaum India yang mahu membuat pinjaman untuk pembelian unit Rumawip (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan).

"Program seperti Rumawip dan perumahan rakyat, kita sentiasa memastikan supaya kuota tertentu diberi kepada kaum India," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Ponggal 2018 di Yayasan Wangsa Perdana di sini pada Ahad.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata kaum India diminta terus bersatu kerana tidak ada parti selain Barisan Nasional (BN) yang sentiasa prihatin demi menentukan nasib rakyat Malaysia.

"Tanyalah wakil rakyat pembangkang. Mereka hanya cakap. Cakap tetapi tidak buat kerja. BN cakap dan buat kerja. Saya percaya dengan semangat dan penyatuan dalam program hari ini dapat dikekalkan sehingga musim pilihan raya akan datang. Insya-Allah Wangsa Maju dalam tangan BN," katanya.

-- BERNAMA