Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, Perlis, empat tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadilan perlu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu harus dipertanggungjawabkan.

Katanya, siasatan akan yang dilakukan adalah menyeluruh termasuk dakwaan pembabitan serta mengenal pasti dalang peristiwa terbabit.

“Lebih baik untuk mengelakkan daripada salah faham, buruk sangka dan sebagainya itu, sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk.

“Kita telah namakan ahli ahli yang akan duduk dalam suruhanjaya itu dan kita bagi tempoh mulai dari ia diluluskan Yang Dipertuan Agong, dan enam bulan siap, kita akan bentangkan,” kata Muhyiddin pada Kongres Melayu Perlis 2019, di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau.

Selain Muhyiddin, kongres itu turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian.

Hasil penemuan itu, kesemua jenazah dikeluarkan dan disemadikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang di Pokok Sena, Kedah.

Mengulas lanjut isu di pintu sempadan negara, Muhyiddin berkata, pihaknya akan memastikan kawasan di sempadan negara kembali selamat.

Katanya fokus akan diberikan kepada kawalan sempadan termasuk pembinaan tembok dan pengeluaran permit keluar masuk sempadan.

Beliau juga mahu urusan perniagaan di Wang Kelian kembali rancak dengan menyaksikan aktiviti keluar masuk pelancong dalam keadaan tertib dan terkawal.

Kata Muhyiddin lagi, kemungkinan akan ada penambahan bilangan petugas di sempadan, bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.