Tidak cukup dengan menyamun sebuah basikal tua, seorang lelaki tergamak menumbuk bahagian leher seorang wanita warga emas sehingga menyebabkannya tersungkur ke atas jalan lalu maut beberapa jam kemudian.

Dalam kejadian sekitar jam 5.48 petang Selasa itu, Yeong Lean Yoong, 72 tahun, dalam perjalanan pulang sambil menyorong basikalnya.

Tiba-tiba suspek, yang menunggang sebuah motosikal, menarik basikal terbabit sebelum menumbuk mangsa di bahagian leher.

Mangsa dilaporkan terjatuh di bahagian tepi Jalan Walker, Pokok Assam dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib ketika ditemui berkata, mangsa mengalami hentakan kuat di bahagian kepalanya.

"Hasil daripada bedah siasat di Hospital Taiping, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman.

"Ini merupakan kali pertama kami berdepan dengan kes melibatkan penyiasatan samun basikal sepanjang perkhidmatan saya," katanya.

BACA: Perginya nenek kerana basikal tua

Jelasnya, pada peringkat awal kes tersebut merupakan sebuah kes samun basikal tetapi selepas pihak forensik mengesahkan kematian wanita itu berpunca daripada pendarahan dalaman, secara langsung ia bertukar menjadi kes jenayah yang membawa kepada kematian dan disiasat di bawah Sekseyn 302 Kanun Keseksaan.

"Walaupun kita nampak kes ini ringan dan hanya melibatkan ragut dan samun basikal sahaja, namun pihak PDRM memandang serius perkara ini kerana ia membawa kepada kematian.

"Kita akan siasat kes ini dan mencari penjenayah terbabit sehingga dapat," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini, hari ini.

Suspek bagaimanapun tidak mengambil sebarang dokumen atau harta benda milik mangsa termasuk beg dan hanya meragut basikal berkenaan.

Tambah Mohamad Taib, ini sekaligus menimbulkan kemungkinan motif adalah balas dendam.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

Suspek dipercayai meragut basikal mangsa untuk dijual semula.

Orang awam yang mempunyai maklmumat tentang kes ini digesa untuk hubungi balai polis berdekatan.