Kerana cemburu, lelaki tikam suami baharu bekas isteri di kepala

Kerana cemburu, lelaki tikam suami baharu bekas isteri di kepala
Ekoran itu, mangsa berusia 30 tahun menerima tujuh jahitan di kepala dan turut cedera di tangan.
LAHAD DATU: Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak menetak suami baharu isterinya di kepala dalam kejadian di Ladang Kelapa Sawit Felda Sahabat 56, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, suspek berusia 25 tahun berjaya ditahan sejurus kejadian oleh orang ramai.

Ekoran itu, mangsa berusia 30 tahun menerima tujuh jahitan di kepala dan turut cedera di tangan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian mangsa sedang makan di kawasan menombak sawit sebelum didatangi suspek.

Senjata digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Menurutnya, suspek membawa sebilah parang dan secara tiba-tiba menyerang mangsa hingga berlaku pergelutan di antara mereka.

"Bagaimanapun kejadian berjaya dileraikan pekerja ladang lain dan suspek turut ditahan.

"Siasatan lanjut mendapati, punca kejadian adalah disebabkan cemburu dengan mangsa yang berkahwin dengan bekas isterinya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Menurut Nasri, siasatan awal mendapati suspek dilaporkan telah bercerai dengan bekas isterinya sejak bulan Julai tahun lalu dan mempunyai tiga orang anak.

Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.