Kerangka perjanjian operasi baharu dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan dimuktamadkan Jun ini, ujar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Langkah itu membolehkan pihak swasta bekerjasama dengan MAHB dalam membangunkan infrastuktur dan fasiliti 39 lapangan terbang di negara ini.

Menurut Loke, setakat ini banyak syarikat swasta yang menunjukkan minat untuk melabur.

Kerangka itu juga mampu mengurangkan beban kerajaan yang sebelum ini menanggung kos infratuktur dan pembangunan lapangan terbang.

"Dalam kerangka itu terdapat empat kluster bagi memudahkan syarikat swasta membuat pelaburan, iaitu kluster Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Kita sekarang ni nak galakkan pihak atau cari rakan kongsi baharu swasta untuk melabur dalam infrastuktur bagi memperbesarkan terminal, memanjangkan landasan, dan kita harapkan ada Capex dari swasta.

"Itu yang kita kaji semula perjanjian dan memberikan fleksibiliti untuk masuk melabur dalam lapangan terbang dan ini bagi kita dapat menjana satu pelaburan dari pihak swasta dan pada masa sama nak lihat infrastuktur dapat berkembang pesat," katanya pada sidang media selepas pelancaran Stesen Fedex Johor di Taman Perindustrian I-Park Senai, Kulai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Loke memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi dari kerajaan Selangor mengenai pertukaran nama KLIA kepada Sepang International Airport.