Seorang kerani maut selepas kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki bersama seorang rakannya bertembung dengan sebuah Honda Accord yang dipercayai mengelak seekor anjing yang tiba-tiba melintas di Kilometer 48 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Chendor di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Muhamad Naim Hamid, 28, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan maut di tempat kejadian selepas cedera parah pada kepala dan badan manakala rakannya Siti Farah Anim Roslan, 26, yang memandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu Honda Accord, seorang lelaki yang berusia 36 tahun itu hanya mengalami luka kecil di bahagian muka.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, kejadian berlaku ketika kereta yang dipandu lelaki terbabit dari arah Kuantan sedang menghala ke Kemaman.

Foto JBPM
"Sampai di tempat kejadian, dipercayai seekor anjing melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu terbabit mengelak ke sebelah kanan jalan dan memasuki laluan arah bertentangan.

"Bagaimanapun, Siti Farah Anim yang memandu Perodua Myvi gagal mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian berkenaan menyebabkan Muhamad Naim yang berasal dari Kemaman, Terengganu maut di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Honda Accord yang dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.

"Kita sudah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu terbabit untuk ujian Toxicology. Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.