Kerani rugi RM128,300 ditipu 'Love Scam'

Kerani rugi RM128,300 ditipu 'Love Scam'
Antara 11 Mei dan 1 Jun, mangsa membuat sebanyak 10 kali transaksi atas talian ke tiga akaun berbeza yang diberikan suspek. - Gambar hiasan
LIPIS: Akibat terlalu ghairah dengan tawaran pelbagai hadiah barangan berharga dan wang tunai oleh kenalan yang baharu dikenali melalui Facebook, seorang kerani di sini kerugian RM128,300 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula pada 6 April lalu apabila wanita itu berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lee Yun Micheal dan tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Sebagai tanda perkenalan, suspek mengaku ingin memberikan mangsa berusia 20 tahun itu hadiah berupa baju, basut, beg tangan, emas putih, minyak wangi, telefon bimbit, gelang tangan, jam tangan, barang kemas dan mata wang asing bernilai USD28,000.

"Pada 11 Mei lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai agen kastam dan memaklumkan bahawa mangsa akan menerima barang daripada luar negara serta mengarahkannya membayar cukai sebanyak RM4,800.
"Pada hari yang sama, mangsa membuat pemindahan secara atas talian ke dalam akaun bank yang diberikan suspek," kata Mohd Wazir dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selepas itu, katanya, suspek menghubungi mangsa lagi dan memintanya membuat pelbagai bayaran termasuk untuk mendapatkan sijil mata wang luar negara, kos penghantaran dan bayaran pengangkutan.

"Untuk tujuan itu, bermula pada 11 Mei sehingga 1 Jun lalu, mangsa membuat sebanyak 10 kali transaksi ke tiga akaun berbeza yang diberikan oleh suspek, menjadikan jumlah keseluruhan RM128,300," katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Wazir, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa baharu menyedari dirinya sudah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis pada Rabu.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan hadiah pelbagai jenis barang daripada luar negara sebagai tanda perkenalan sebelum menyamar sebagai agen kastam dan meminta pelbagai bayaran daripada mangsa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.