Polis berjaya menahan seorang kakitangan awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju yang dipercayai perancang utama kes samun lebih RM1 juta di pejabat akaun jabatan itu, 4 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata wanita berusia 40 tahun itu antara sembilan individu yang berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan kes.

“Hasil siasatan mendedahkan kejadian ini dirancang oleh seorang perempuan Melayu berumur 40 tahun yang merupakan kakitangan bertugas di pejabat tersebut.

"Polis telah berjaya merampas sebahagian wang rompakan berjumlah RM111,400 dan barang kemas bernilai RM5,256,” kata beliau.


Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh berkata polis masih memburu dua lagi suspek utama bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 24 hingga 67 tahun itu ditahan dalam beberapa tangkapan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, dua suspek yang memakai topi keledar berpenutup muka dan bersenjatakan parang telah menyamun pejabat akaun dan hasil di aras bawah JPJ Wangsa Maju.

Mereka merampas wang tunai RM754,840 serta empat keping cek bernilai lebih RM444,000.