Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini melepas tanpa membebaskan dua rakan atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki dengan mengerat telinganya, pada Disember 2015 lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pembelaan agar kes berkenaan digugurkan disebabkan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan saksi kejadian itu.

Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin ketika prosiding berkata pihaknya hanya dapat berhubung dengan seorang daripada tiga saksi sahaja yang kini berada di Penjara Machang.

Katanya saksi berkenaan bagaimanapun hanya mengetahui dia telah diminta untuk menjadi saksi, beberapa hari lepas dan tidak bersedia untuk hadir memberikan keterangan hari ini.

Kes dikatakan sudah lama tertangguh namun pihak pendakwaan masih gagal untuk mengemukakan saksi kejadian.

Abu Arsalnaa turut memohon agar mahkamah dapat memberikan tarikh yang lain agar pihaknya dapat membawa saksi berkenaan.

Dua tertuduh itu, Kamarohimi Nordin, 39, dan Muhamad Azroy Saharudin, 33, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dilaporkan melakukan jenayah berkenaan pada 14 Disember 2015 kira-kira pukul 8.10 malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Raja Panyit, Machang.

Mereka dilaporkan menggunakan sebilah pisau untuk sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 56 tahun sehingga putus telinga kiri, luka di bahagian lutut kiri, urat buku lali, otot koyak di lengan kiri dan lebam di bahagian mata.

Atas kesalahan itu kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.