Satu lagi kes kereta milik seorang pemandu GrabCar rosak teruk akibat diserang beberapa pemandu teksi ketika sedang mengambil menumpang di pusat beli-belah Mid Valley di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata dalam kejadian pukul 2 pagi itu, pemandu GrabCar berusia 35 tahun itu didatangi seorang pemandu teksi yang memarahinya kerana mengambil penumpang di kawasan pemandu teksi itu beroperasi.

"Mangsa yang ketika itu mengambil dua penumpang mendakwa ditahan oleh seorang pemandu teksi yang mengarahkan kedua-dua penumpangnya keluar dari kenderaan itu dan didatangi dua lagi pemandu teksi yang cuba merampas telefon bimbit miliknya," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Sharul berkata selain dimarahi kerana mengambil penumpang di kawasan terbabit, pemandu teksi berkenaan turut bertindak agresif dengan menendang tangan mangsa.

Bimbang akan keselamatan diri, kedua-dua penumpang yang menaiki kereta mangsa bertindak keluar dari kereta mangsa dan beredar dari lokasi berkenaan.

Sharul berkata mangsa turut mendakwa beberapa lagi pemandu teksi lain turut bertindak menendang keretanya sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu belakang bahagian kanan dan kiri, patah cermin sisi kanan, pecah lampu isyarat kanan dan remuk pada bumper.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh mangsa dan rakaman percakapan telah dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sedang mengesan mereka yang terlibat bagi membantu siasatan.

Katanya polis telah merakam gambar rajah kasar seorang suspek yang berbadan gempal dan tinggi serta akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan untuk siasatan.

Kes pemandu perkhidmatan GrabCar dan Uber diserang pemandu teksi telah beberapa kali dilaporkan iaitu pada 20 Jun lepas tercetus satu kekecohan melibatkan seorang pemandu teksi Uber dan suspek berusia 44 tahun yang ditahan di Taman Selayang Utama, Baru Caves pada pukul 11.15 malam.

Dalam insiden tengah hari itu, suspek dikatakan menendang kereta mangsa yang menawarkan perkhidmatan teksi Uber, sebelum menarik keluar seorang pelancong dan bertelagah dengan pemandu kereta berkenaan.