Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 22 Jalan Lipis-Merapoh berdekatan susur keluar Lebuhraya CSR Selborne di sini, pagi ini.

Kejadian jam 5.50 pagi itu mengakibatkan pemandu Perodua Bezza, Chong Mum Tong, 47 tahun, penumpang, Len Wee Keong, 42 tahun dan Chan Yung Sing, 11 tahun maut serta merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kejadian berlaku ketika pemandu Perodua Bezza itu dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Lumpur.

"Sewaktu sampai di tempat kejadian pemandu kereta berkenaan dipercayai memandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang dipandu Hasnan Hussin, 43 tahun.

"Akibat pertembungan itu, Perodua Bezza berkenaan remuk teruk dan melekat di bahagian belakang sebelah kiri treler. Kesemua mangsa lelaki di dalam kereta berkenaan tersepit dan dikeluarkan oleh pihak bomba," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akibat pertembungan itu, Perodua Bezza berkenaan remuk teruk dan melekat di  bahagian belakang sebelah kiri treler.  - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Kejadian berlaku ketika pemandu Perodua Bezza itu dari arah Gua musang menuju ke Kuala Lumpur. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Beliau berkata, kesemua mangsa yang berasal dari Gua Musang, Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Bezza yang memandu laju lalu hilang kawalan dan melanggar belakang traler dan tiada unsur jenayah berlaku.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya lagi.