Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 71.1, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang Sabtu itu, Mohamed Rashid Mat Desa, 92, dan Fatimah Isa, 83, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu tunang cucu mereka, hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang dan terbalik.

Kereta jenis Perodua Myvi dipandu Filza Izzaty Abdullah, 22, dikatakan dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kampung Gelok, Lenggong.

"Akibat kemalangan, pasangan suami isteri itu yang duduk di bahagian penumpang belakang maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan, Muhammad Hafiz Abdullah, 22, yang merupakan cucu mereka cedera ringan,” katanya hari ini.

Ismail berkata, Filza Izzaty yang merupakan tunang Muhammad Hafiz mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenderaan dinaiki mangsa rosak teruk pada keseluruhan bahagian.

Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada terbabas sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.