Seorang lelaki gagal mengawal keretanya lalu merempuh dinding hadapan sebuah rumah di Taman Sejati Indah, Sungai Petani kira-kira jam 2.15 pagi Selasa.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat, lelaki berusia 65 tahun yang memandu kereta jenis BMW 320i itu gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan merempuh dinding rumah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kejadian tidak membabitkan kecederaan.

Jelas Shamsudin, pemandu terbabit didapati mengambil minuman keras, namun kandungan alkohol berada pada paras dibenarkan memandu.

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).