Seorang pemandu maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar tebing jalan sebelum terbakar di Jalan Besar Jelapang, Taman Meru 1, di sini, pagi ini.

Mangsa, dikenali sebagai Chai Jun Da, 26 tahun, yang mengalami kecederaan parah telah dikeluarkan dari kenderaannya oleh orang awam.

Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 4.36 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Iswara Aeroback yang terbabas dan terbakar 90 peratus,” kata pihak itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan satu aliran hosreel air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Mohd Radzi tamat jam 5.40 pagi.