Kerajaan memberi jaminan bahawa kontrak kerja bawah tanah Transit Aliran Massa Laluan 2 (MRT2) akan diteruskan, namun ia akan diberikan melalui tender terbuka pada kos yang dikurangkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan komited untuk menurunkan kos projek tersebut melalui pelaksanaan semula tender.

Beliau berkata, oleh itu, dakwaan bahawa langkah tender semula berkenaan akan menyebabkan 20,000 pekerja hilang pekerjaan adalah tidak berkaitan.

"Kita tidak membatalkannya, namun kita mahu mendapatkan harga yang lebih baik. Kita telah mendapat harga terbaik dengan penjimatan RM5.2 bilion bagi bahagian atas tanah MRT2.

"Bagi kerja bawah tanah, kerajaan yakin projek itu akan mencatatkan penjimatan yang lebih tinggi melalui tender terbuka," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Malaysia: Harapan Baharu Pelabur di sini, hari ini.

MMC-Gamuda, dalam kenyataan, berkata langkah diambil Kementerian Kewangan itu akan mengakibatkan 20,000 pekerja hilang pekerjaan, dan 3,000 daripadanya merupakan kakitangan usaha sama MMC-Gamuda dengan 60 peratus daripadanya ialah bumiputera.

Kabinet membatalkan kontrak kerja bawah tanah MRT2 dengan MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Gamuda dan MMC, serta memutuskan untuk melaksanakan semula tender bagi semua kerja bawah tanah MRT2 yang belum diselesaikan.

Lim berkata, para pekerja tidak akan kehilangan pekerjaan memandangkan mereka boleh diambil semula untuk bekerja sebaik sahaja projek itu diteruskan.

"Ia mungkin daripada Gamuda atau syarikat lain," katanya.

Baru-baru ini Lim berkata, projek MRT2 dijangka dapat menjimatkan RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada kos asal bagi bahagian atas tanah projek itu, susulan tender terbuka.

Bagaimanapun, pihak kerjaaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan berkaitan bahagian bawah tanah projek pembinaan itu, katanya.

Beliau berkata, justeru itu, kabinet memutuskan untuk membatalkan kontrak kerja bawah tanah tersebut.

Mengulas mengenai itu, Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd berkata, kerja-kerja bawah tanah bagi projek MRT2 telah 39 peratus siap, dengan demikian, proses pembatalan dan pelaksanaan semula tender akan "agak sukar".

-- BERNAMA