Pejabat Daerah Segamat mengarahkan kerja-kerja menyedut pasir berhampuran Sungai Muar di Pekan Buloh Kasap dihentikan serta merta.

Pegawai daerah Abdul Rahim Nin berkata, syarikat berkenaan juga diarahkan membawa keluar peralatan mereka dari kawasan itu dengan segera.

Menurutnya kerja-kerja menyedut pasir itu sebenarnya masih tidak mendapat kelulusan Pejabat Tanah untuk tahun ini berikutan gagal memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS) Daerah.

Terdahulu pihak JPS meminta syarikat terlibat membaiki tebing sungai yang runtuh akibat kerja-kerja pengorekan pasir sehingga telah menambah kedalaman sungai sekali gus membahayakan penduduk.

“Untuk masa terdekat saya arahkan pengusaha pasir hentikan operasi mereka. Mereka belum mendapat kelulusan jadi sebenarnya mereka tidak boleh beroperasi. Saya telah mengarahkan Pejabat Tanah untuk hentikan operasi dengan serta-merta,” kata Abdul Rahim.

Beliau selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah berkata, pada masa ini sebanyak 18 lesen dikeluarkan bagi kerja-kerja menyedut pasir sepanjang Sungai Muar di Daerah Segamat dengan 10 daripadanya aktif, tiga menunggu kelulusan lanjutan dan lima tidak aktif.

Kerja pengorekan pasir berkenaan bukan sahaja membahayakan 200 penduduk sekitar sebaliknya sudah berpuluh tahun penduduk terpaksa bertahan dengan habuk daripada lori yang keluar masuk di kawasan kediaman mereka.

Penduduk yang ditemui juga melahirkan rasa kesal kerana kerja-kerja pengorekan pasir terus dilakukan biarpun mereka sudah mengadakan bantahan.